Berdasarkan kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan, agama Islam
ternyata diberi kedudukan yang istimewa berbanding agama - agama lain di negara
ini. Ini terbukti apabila undang - undang tertinggi ini menyatakan bahawa Islam
adalah agama Persekutuan manakala agama-agama lain pula bebas untuk dianuti dan
dipraktikkan oleh penganut - penganutnya. Dalam konteks negeri - negeri pula,
hampir kesemua Perlembagaan negeri - negeri memperuntukkan bahawa Islam adalah
agama rasmi negeri di samping jaminan kebebasan beragama terpelihara
sebagaimana dalam perlembagaan. Peruntukan seumpama ini merupakan kesinambungan
kepada apa yang wujud dalam perlembagaan bertulis negeri - negeri Melayu
sebelumnya seperti Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Negeri Terengganu 1911.
Apa yang menarik untuk diberi perhatian ialah peruntukan mengenai Islam ini
diberi keutamaan dari segi urutan peruntukan dalam perlembagaan.
Walaupun Perlembagaan persekutuan ini telah
diiystiharkan sebagai undang - undang tertinggi negara, namun peruntukan
mengenainya hanya diletakkan pada Perkara 4. Manakala, bagi Islam pula,
kedudukannya yang istimewa telah diberi keutamaan tertinggi dari segi urutan
apabila ia diletakkan lebih awal dalam Perkara 3. Meletakkan Agama Islam di
awal bahagian dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan dan
kedudukannya. Perlu diingat bahawa, walaupun Perlembagaan itu adalah undang - undang
utama dan tidak ada yang dapat mengatasinya, namun harus diingat bahawa Islam
yang meliputi undang - undang Islam juga merupakan sebahagian dari undang - undang
yang diliputi dan diiktiraf oleh perlembagaan itu sendiri. Dengan kata lain,
undang - undang Islam itu adalah sebahagian dari kandungan Perlembagaan itu sendiri.
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan
menunjukkan bahawa agama Islam telah diberi keistimewaan dalam perlembagaan
berbanding agama - agama lain di negara ini. Kedudukan Islam yang istimewa ini
tidak harus dipertikaikan memandangkan peruntukan mengenainya ditunjangi oleh
Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah hasil kompromi dan
permuafakatan bersama pemimpin - pemimpin negara dan masyarakat yang terdiri
dari pelbagai kaum dan agama semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai
kemerdekaannya pada tahun 1957.
Kedudukan Istimewa Islam ini juga telah
mengambil kira elemen - elemen tradisional penduduk asal Tanah Melayu iaitu
orang - orang Melayu ratusan tahun sebelumnya yang terus menerus dipertahankan
. Contohnya, agama Islam telah menjadi anutan sejak ratusan tahun bagi orang - orang
Melayu. Kerajaan Melayu Melaka yang bertapak kukuh selama lebih kurang 100
tahun pada kurun ke - 15 telahpun memperkenalkan undang - undang Islam yang
dikenali Hukum Kanun Melaka. Walaupun undang - undang tersebut dikatakan
mengandungi unsur - unsur adat, namun sebahagian besar kandungannya merupakan
undang - undang Islam sebenar meliputi perkara - perkara sivil dan jenayah.
Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan
mengapa Islam menjadi agama Pesekutuan. Sebagai Agama Persekutuan, Islam
menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini
berbanding agama - agama Islam. Apa yang penting dalam hal ini ialah, betapa
pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama ini
menghayati sejarah negara. Tujuannya, agar setiap peruntukan penting dalam
undang - undang di negara kita dapat difahami mengapa ia berlaku sedemikian
rupa. Pemahaman mendalam mengenai sejarah negara dan undang - undang tidak syak
lagi dapat mengikis rasa ketidakpuas hati mana-mana pihak terhadap suatu
peruntukan undang - undang itu.
No comments:
Post a Comment